Saturday, January 10, 2015

Terkubur Sudah Kebun Ahmad Irfan (Budaya Kuli Turut Mencengkam Kotak Fikir Anak Muda Melayu).

DARI Allah dia datang dan kepada Allah juga dia pergi. Kebun Ahmad Irfan yang menjadi salah satu program khidmat kemasyarakatan (CSR) Agro Kraf `dikafankan' dengan selamat pada 1 Januari 2015 walaupun baharu sahaja dilahirkan pada 1 Muharam 1436.
     Tanpa berat hati, keputusan tegas ini dibuat hasil siasatan yang dilakukan mendapati Ahmad Irfan sendiri turut terbabit secara aktif memusnahkan 31 batang pokok lada api yang ditanam oleh `atuk angkatnya' sendiri.
     Walaupun dia mendakwa Akhmal yang memusnahkannya (Akhmal dilihat sentiasa lari apabila melihat aku) tapi api amarah itu dituang petrol Ron 97 oleh pemilik kebun ini sendiri. Alasannya cuma SATU - "Acik tak bayar upah."
     "Sejak bila pula acik menjanjikan upah? Bukankah acik dah beritahu juga baba kamu yang acik akan buka akaun untuk hasil kebun di samping duit tunai beli ais krim," tanyaku senja itu. Ahmad Irfan terkebil-kebil. Kekentalan semangat Pejuang Memali (istilah yang diberikan abangnya, Omar) pudar.
    Senang sahaja aku menangkap pesalah. Apabila tanya Irfan, dia tuduh Akhmal. Bila tanya Akhmal tentulah dia bercerita sebenarnya, "Irfan yang suruh."
     Bukti paling nyata, hanya sebatang sahaja pokok lada api yang tidak dimusnahkan iaitu pokok yang sedia ada (tumbuh sendiri) sebelum projek ini.
     Tentulah amat malu ibu dan bapanya. Manakan tidak. Kedua-duanya lulusan universiti Mesir dan Jordan ternama. Kedua-duanya mungkin terlalu sibuk `mengajar orang' (berceramah di sana-sini) sehingga terlupa anak sendiri. Wallahualam!
Kebun Ahmad Irfan bagai kubur tua ini. Nisannya juga amat sukar dikesan.

No comments:

Post a Comment