SECRET LOVER...
Sudah lama aku mencintainya dalam diam. Mungkin hampir suku
abad. Kerja-kerja batu dan simen feronya memukau - bagi aku dia satu-satunya anak
Negeri Sembilan yang begitu terkedepan seni ketukangan (kraf) batunya (Stone Arts).
Aku mula melihat hasil kerjanya melalui pagar dan gerbang rumahnya. Pernah aku bertanya sewaktu minum pagi di kawasan berhampiran. "Dia tu pensyarah UiTM," kata orang yang mendakwa tahu.
Aku hanya mula berhasrat untuk menemui pemilik syarikat yang terletak tidak jauh dari bandar Seremban ini cuma sekitar seminggu lalu. Sewaktu menguruskan jualan tanah seluas tiga ekar, bengkel pemilik seniman batu ini hanya terletak bersebelahan.
Setelah bertanya kepada karyawannya yang berasal dari Surabaya, dia selamba sahaja menjawab. "Tauke jarang datang."
Aku sudah menjangka dia punya bisnes lain juga; mungkin yang lebih lumayan berbanding dengan tumpuan utama syarikat ini sekarang iaitu menyediakan nisan kuburan.
Oleh kerana kedatanganku untuk mendapat khidmat kepakaran simen feronya; hajat itu tidak kesampaian kerana menurut karyawan kreatif nisan kuburannya taukenya tidak membuatnya lagi.
Lalu aku tangkas menghubunginya melalui nombor yang tertera di bengkelnya.
"Melampau! Takkan mould saya you nak beli. Melampau sangat!," dia bagai berteriak. Mungkin tidak dijangkanya sama sekali, orang yang baharu dikenali dan cuma melalu telefon sudah berani membeli `emak' bisnesnya.
Setelah beberapa kali janji temu tidak berlaku, semalam buat pertama kalinya kami bertentang mata.
"Oh you! Saya selalu baca blog you...," katanya ramah dan aku juga bagai sudah bersemuka dengannya sejak 25 tahun lalu.
Semalam kami makan bersama dan kolaborasi akan berlaku antara Agro Kraf dengan .....
(pemilik bengkel kerja-kerja simen dan batu ini `malu publisiti').
Oleh kerana aku pergi ke bengkelnya dengan menumpang motosikal Nasha Damsyik, aku memintanya menghantar pulang ke rumah dengan BMW 6 Seriesnya (katanya kereta bernilai RM360,000 itu dibeli tunai).
nota: Nasha Damsyik terpaksa pulang awal untuk menghantar isterinya kerja).
No comments:
Post a Comment