Wednesday, November 5, 2014

Pinangan Diterima

Lanskap di belakang rumahku dinaik taraf pada November 2013 dan  sebelahnya telah ditanam betik, lada api dan limau kasturi.
SEJAK Ramadhan tahun lalu aku memanfaatkan kawasan lapang di belakang rumah yang bersempadan dengan Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) dengan tanaman 12 batang limau kasturi dan 38 batang lada api.
     Aku sendiri tidak mempunyai kawasan lapang lagi kerana tanah itu sudah ditambak dan dijadikan tempat rehat yang turut dibina air terjun dengan lanskap berasaskan simen fero.
     Kawasan sebelah rumah yang tidak berpenghuni sejak aku berpindah ke sini pada 9.9.99 pula telah aku tanam kunyit, betik dan limau kasturi.
     Lalu aku mohon kebenaran dua jiran bersebelahan, Akhiri dan Redzuan untuk menggunakan tanah reserve Majlis Perbandaran Seremban di belakang rumahnya dan hasilnya nanti bolehlah dimakan bersama.
     Berbanding Akhiri dan Redzuan yang masih muda dan tentunya sibuk dengan kerjaya seperti aku dahulunya, kini aku seorang pesara. Memang banyak masa terluang. Mengapa tidak dimanfaatkan?
     Hasil persahabatan dengan pakar lanskap Sulaiman Roslan (Stone) yang ketika itu menyewa rumah dan tanah isteri di Batu 7, Jalan Labu untuk dijadikan nurseri, aku didedahkan dengan dunia tani secara praktiknya.
     Maka akupun jatuh cinta.
    ......
     Beberapa minggu sebelum Awal Muharram baru-baru ini pula, Bu Sutinah (orang gaji Hashim, jiran sebelah rumah) mencadangkan aku meluaskan kawasan operasi lalu tanah di belakang rumah Irfan juga dibersihkan.
     Bu Sutinah sendiri telah mengusahakan pelbagai tanaman (ubi, ulam raja, lada api, labu dan lain-lain) di dua unit rumah majikannya.
     "Pak! Kawasan yang ini cantik ditanam terung Pak!," suatu hari dia bersuara tatkala melihat aku sedang berpeluh kerana berkebun.Kawasan yang dimaksudkan ialah di sebelah rumahnya yang disewa oleh pasangan muda daripada Umi.
     Minggu lalu pula aku minta kebenaran ibu Afendi, jiran di sebelah rumah Redzuan untuk mengusahakan juga kawasan di belakang rumahnya dan dia merelakan.
     Di bahagian belakang dua unit rumah teres dua tingkat di pangkal jalan milik Dato' Mohd Noh Rajab (mantan Ahli Parlimen Tampin) yang dahulunya menempatkan Studio Sang Pencerita dan jirannya, Khalid (kakitangan RTM Angkasapuri) memang luas. Aku sendiri yang menambaknya yang membabitkan kos kira-kira RM7,000.00
     "Oleh kerana aku `telah hilang' rumah itu, kau kena bayar sebahagian kos tambak. Kau bayar RM2.,000.00 pun cukuplah. Kalau kau keberatan, izinkan aku berkebun di situ," pintaku kepada Khalid sebelum dia berangkat ke Makkah musim ini.
     Dengan ini bermakna, kesemua kawasan belakang blok 10 unit ini telah aku `jajah'. Satu lagi unit iaitu rumah Irfan adalah blok berlainan.
     Sebagaimana Irfan, aku juga `over-energy'. Kawasan yang ada ini juga masih tidak cukup untuk melampias tenaga Badamgku.
     Lalu aku mencari kawasan baharu dan inilah Kebun Ahmad Irfan yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak yang terletak di hujung jalan mati ini.
     "Fan! Kau nak ikut Acik berkebun tak?," tanyaku pada suatu petang.
     "Boleh juga Cik!"
     Ternyata pinanganku diterima. Gayung yang dihulur bersambut.


    
    

No comments:

Post a Comment