Tuesday, November 25, 2014

Inovasi Dengan Produk Tani

Banana Cheese
INOVASI! Itulah yang perlu dilakukan sama ada oleh petani atau mereka yang menjadikan produk tani sebagai bisnes.
Kalau dahulu pisang hanya boleh dikaitkan dengan pisang goreng, lempeng pisang, cekodok pisang, kek pisang dan sebagainya; kini seorang mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu, Mohd Azim Zahari, 21 telah menggabungkan hasil tani tempatan dengan produk yang telah dikenali umum seperti Milo, Oreo dan menjadikan keju (cheese) sebagai antara bahan utama.
Ia dinamakan Banana Chees dan boleh diperolehi di gerai berhadapan Restoran Syed Maju, Taman Paroi Jaya, Seremban.
Saya yang baharu menikmatinya sebentar tadi, mengakui resipi berasaskan pisang ini memang jempolan bak kata Edo, karyawanku dari Lampung, Indonesia.
Apakah rahsia sedapnya banana cheese ini.
"Antaranya pasti tepungnya yang istimewa. Ia produk hasil kami sendiri," kata Rosmaliza Roslan, Pengurus Banana Cheese yang mula diperkenalkan kepada penduduk tempatan sejak April lalu.
Rosmaliza Roslan sedang menyiapkan tempahan
"Kami pilih pisang berangan terbaik. Perisanya boleh pilih sendiri sama ada cheese, Milo, Milo/ cheese, Oreo, peanut butter dan sebagainya.
"Harganya cuma RM4.50 hingga RM5.00 bergantung kepada perisanya," cerita Rosmaliza lagi.
Ia dijual antara jam 1.00 petang hingga 10.00 malam pada hari biasa dan jam 1.00 petang hingga 7.00 malam pada hari Ahad.
Gerai ini boleh dihubungi melalui 017-694 2329 atau 017-654 9631

Sunday, November 9, 2014

Cara Betul `Menyokong' Pisang

Baharu hari ini aku tahu cara menggunakan penyokong buluh yang betul bagi memastikan tandan pisang yang besar tidak menyebabkan pokoknya rebah.
    "Buluh perlu diletak di pangkal tandan; bukannya di pokoknya," kata Haji Abdul Aziz yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Angsana 1, Lorong Angsana 1/4, 1/5 dan 1/6 Taman Pinggiran Golf.
     Sebagai penaung projek Kebun Ahmad Irfan, aku membawanya sekali bersama Irfan melawat kebun sepupuku, Cikgu Husni Haji Ahmad di Kampung Tengah, Batu 8, Labu.
     Aku menjadikan kebunnya sebagai model - bersih, penjagaan tanaman yang rapi dan pastinya aku `geram' dengan pisangnya yang hidup subur.
    Projek yang telah dimulakan kira-kira enam bulan lalu itu akan memberikan hasil yang lumayan dalam tempoh seminggu dua ini.
     Setidak-tidaknya Husni dapat menunaikan Fardu Kifayahnya - membekal pisang nangka dan pisang tanduk yang sering menjadi masalah besar kebelakangan ini kepada penjual pisang goreng.
Husni Haji Ahmad
Besar jantungnya, besar pula...

Kebun pisang Husni

"Ini cara yang betul...

"Jangan tahan pada batangnya...

Lanskap Mudah Di Belakang Rumah

Alif dan Uweis membancuh simen

Akmal memanfaatkan pengalaman kerja simen

Kerja telah siap sebelum Maghrib

"Terimalah Hadiah Kami" itulah catatan Alif dan Azim untuk Papa dan Mama mereka, Akhiri dan Nashwah
EXPERIENCE & PROJECT BASED-LEARNING - Batu blok yang tidak aku gunakan lagi ini aku hadiahkan kepada jiran sebelah rumah; pasangan Akhiri Mokhtar dan Nashwah Zainal dan meminta anaknya Alif dan Azim memanfaatkannya.
     Pastinya mereka memilih untuk menyediakan tapak rehat di belakang rumah yang menghadap lubang nombor satu Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) yang menghijau itu dan tempat berbakue menjadi komponen utama lanskap mudah ini.
     Aku tahu pasangan ini sering menjadikan berbakue sebagai aktiviti pengikat kasih bersama anak-anak dan ruang lapang di depan pintu depan menjadi lokasinya.
     Setelah melihat pada sebelah paginya Alif dan Azim yang dibantu ahli Kelab Kebun Ahmad Irfan; Irfan, Akmal dan Uweis berjaya melakukan kerja-kerja menyusun 12 keping batu blok itu, pada sebelah petangnya aku meminta mereka menyambung susunan itu dengan membancuh simen sendiri.
     Di peringkat ini aku menyerahkan 100 persen kepada mereka - dari peringkat membancuh simen dan meratakannya.
     Mereka beruntung kerana Akmal pernah melakukan kerja-kerja ini di sekolah - Sekolah Kebangsaan KGV, Seremban.
     Sebelum masuk ke rumah untuk menunaikan perintah Allah (Maghrib) Azim dengan penuh bersemangat bertanya kepadaku," Uncle! Esok kita buat apa pula."
     Aku telah menyediakan assignment baharu untuk mereka - pasu yang terbiar selama ini akan cuba di isi dan rumput liar akan diganti. Kebetulan di taman perumahan kami, hidup menghijau tumbuhnya rumput carpet di sisi jalan masuk.

Thursday, November 6, 2014

Irfan Tempat Mengadu

Setiap petang Irfan datang hendak tengok mukanya di blog atau Facebook

Adibah berkongsi kisah sedih dengan Irfan selepas makan
AKU perasan anak bongsuku, Siti Adibah mencuka wajahnya sewaktu dijemput pulang dari sekolah tadi. Hari ini dia bersama pasukan Sekolah Kebangsaan KGV menyertai pertandingan bahasa Inggeris di universiti yang terletak di Bandar Springhill itu.
"Kalah ke?"
"Menang tempat kedua."
"Jadi kenapa sedih?"
"Mail" (Ismail anak bekas jiran kami yang mewakili Sekolah Kebangsaan St. Paul yang keluar juara.
"Kenapa Mail?
"Dia sombong sangat," lalu lelehan air mata kelihatan.
...
Sewaktu melapor diri petang tadi, aku dan Adibah baharu hendak menyuap nasi goreng yang kami masak bersama.
"Irfan! Dah makan belum?," aku mengajak ajak-ajak ayam.
"Belum," katanya jujur dan kami makan bersama nasi yang baharu sahaja disenduk dari kuali.
"Mail ada datang sini tak?," Adibah kudengar bertanya kepada Irfan (Irfan adalah teman bermain Ismail sewaktu tinggal di sebelah rumahku dahulu sebelum mengikut bapanya bekerja di Dubai).
"Ada. Dia baru datang minggu dulu. Dia dah sombong sekarang," adu Irfan.
"Memang dia sombong. Masa jumpa tadi, dia kata dia tak kenal kita," Adibah bagaikan lega kerana andaiannya tidaklah tersasar...

Labu Tak Malu Lagi (ciplakan `Aman Tak Malu Lagi'

Bandar Ainsdale

Bandar Seremban 2
WAKTU belajar awal tahun 70-an dulu, aku malu mengajak kawan-kawan datang ke rumah. Kampungku Pelegong terletak di tepi hutan. Samalah dengan Aman, budak Akademi Fantasia itu. Dia sudah tidak malu lagi lalu berjaya masuk final.
Selalu juga aku bercanda dengan anak bongsuku, Siti Adibah sewaktu menonton program popular itu. "Tengok Aman kat tv. Dia dah tak malu lagi."
Sambil menanggal seluar dia berkata lembut, "Aman tak malu lagi!." Maaf! Sengaja bercanda.
Bagi anak-anak Labu yang sudah lama tidak pulang ke kampung, ambil kesempatan menziarahi ibu bapa dan anggota keluarga.
Lihat apa yang berlaku kini. Dua projek perumahan gergasi saling berlumba (Bandar Ainsdale dan Seremban 2) dan tentunya kita tidak terlepas laba.
Mari kita majukan kampung kita. Secara tradisinya, agro pelancongan boleh menjadi tarikan utama. Tak perlu orang luar negara; cukup dengan penghuni kedua-dua taman perumahan mewah itu.
Dari Kampung Sebir ke Nilailah nanti mereka mencari lada dan kelapa. Di sini jugalah nanti, mereka melarikan diri seketika melepas penat dan pening - tentunya tempat rekreasi dan makan-minum yang dicarinya.
Menyedari hal inilah Agro Kraf tercetus idea membangun tanah pusaka dan mengajak orang kampung untuk bersama.
Masalah tetap ada. Ketepikan... Mari kita langkah seiring. Buang jauh cemburu dan khianat. Ayuh rakan-rakanku anak Labu!

Tangan Kami Sejuk Ke?

ORANG kata hanya mereka yang `bertangan sejuk sahaja' mampu bercucuk-tanam yang menghasilkan buah dan sayur yang subur. Benar ke tahyul?
Kalau begitu keluarga kami sejuklah tangannya. Lihat foto hasil tanaman sebahagian keluarga kami.
Nanas Mak Lang
Betik dan terung emak

Cili sepupu (Husni)

Limau nipis sepupu (Id)

Limau kasturi dan terung telunjukku

Wednesday, November 5, 2014

Berlakunya Pemindahan Ilmu

SEBAGAIMANA dirancang, petang tadi Irfan dan Akhmal anak ASP Rosli yang tinggal di Lorong Angsana 1/6 datang dengan bekas minuman terbuang.
"Kita mesti kreatif. Apa sahaja bahan yang ada
Aku menunjukkan cara memasukkan tanah organik ke dalam polibeg

Oleh kerana Akhmal lewat beberapa minit, aku minta Irfan pula mengajarnya
di sekeliling kita perlu kita gunakan sepenuhnya. Selain plastik hitam ini (orang panggil polibeg), apa lagi yang boleh kita gunakan untuk mengalih benih lada api dan terung telunjuk esok?," aku bertanya. Kedua-duanya diam, lalu aku terangkan konsep guna semula (recycle).
Sebelum senja semalam juga aku menerangkan bagaimana tumbuhan membiak. Aku meminta mereka rujuk buku teks Tahun 4.
"Cik! Mana buah ubi ni?," tiba-tiba Akhmal bertanya sambil mencari-cari di celah rantingnya.
"Ubi dalam tanahlah," Irfan menjawab  segera.
Ketika itu baharu aku perasan, kedua-duanya tidak berapa tahu yang mana pokok lada api, yang mana terung dan yang mana kunyit.
"Ayah! Macam mana rupanya pokok nasi?," tiba-tiba aku teringat pertanyaan anak bongsuku, Siti Adibah sewaktu kecil dahulu.

5 November 2014

IRFAN hari ini tidak ke sekolah.
"Terlambat bangun tadi," katanya jujur.
"Boleh berkebun tak pagi ni?"
Irfan mengangguk.
"Sebelum kita berkebun, pastikan kawasan keliling rumah kita bersih dahulu. Kemaskan pasu dan buah jambu yang banyak gugur tu," pintaku. Irfan akur.
Sebagai tanda penghargaan, aku ajak Irfan pekena Cendol Karim di Kampung Sentosa setelah melakukan dua lawatan peningkatan pengetahuan - melihat Tapak Semaian Majlis Perbandaran Seremban dan Nurseri Orkid Adnan Maarof di Paroi.
Oleh kerana jam sudah menunjukkan angka 11.00, aku pelawa Irfan pekena rojak mi juga untuk alas perut.
"Mi karilah Cik," pintanya.

Pinangan Diterima

Lanskap di belakang rumahku dinaik taraf pada November 2013 dan  sebelahnya telah ditanam betik, lada api dan limau kasturi.
SEJAK Ramadhan tahun lalu aku memanfaatkan kawasan lapang di belakang rumah yang bersempadan dengan Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) dengan tanaman 12 batang limau kasturi dan 38 batang lada api.
     Aku sendiri tidak mempunyai kawasan lapang lagi kerana tanah itu sudah ditambak dan dijadikan tempat rehat yang turut dibina air terjun dengan lanskap berasaskan simen fero.
     Kawasan sebelah rumah yang tidak berpenghuni sejak aku berpindah ke sini pada 9.9.99 pula telah aku tanam kunyit, betik dan limau kasturi.
     Lalu aku mohon kebenaran dua jiran bersebelahan, Akhiri dan Redzuan untuk menggunakan tanah reserve Majlis Perbandaran Seremban di belakang rumahnya dan hasilnya nanti bolehlah dimakan bersama.
     Berbanding Akhiri dan Redzuan yang masih muda dan tentunya sibuk dengan kerjaya seperti aku dahulunya, kini aku seorang pesara. Memang banyak masa terluang. Mengapa tidak dimanfaatkan?
     Hasil persahabatan dengan pakar lanskap Sulaiman Roslan (Stone) yang ketika itu menyewa rumah dan tanah isteri di Batu 7, Jalan Labu untuk dijadikan nurseri, aku didedahkan dengan dunia tani secara praktiknya.
     Maka akupun jatuh cinta.
    ......
     Beberapa minggu sebelum Awal Muharram baru-baru ini pula, Bu Sutinah (orang gaji Hashim, jiran sebelah rumah) mencadangkan aku meluaskan kawasan operasi lalu tanah di belakang rumah Irfan juga dibersihkan.
     Bu Sutinah sendiri telah mengusahakan pelbagai tanaman (ubi, ulam raja, lada api, labu dan lain-lain) di dua unit rumah majikannya.
     "Pak! Kawasan yang ini cantik ditanam terung Pak!," suatu hari dia bersuara tatkala melihat aku sedang berpeluh kerana berkebun.Kawasan yang dimaksudkan ialah di sebelah rumahnya yang disewa oleh pasangan muda daripada Umi.
     Minggu lalu pula aku minta kebenaran ibu Afendi, jiran di sebelah rumah Redzuan untuk mengusahakan juga kawasan di belakang rumahnya dan dia merelakan.
     Di bahagian belakang dua unit rumah teres dua tingkat di pangkal jalan milik Dato' Mohd Noh Rajab (mantan Ahli Parlimen Tampin) yang dahulunya menempatkan Studio Sang Pencerita dan jirannya, Khalid (kakitangan RTM Angkasapuri) memang luas. Aku sendiri yang menambaknya yang membabitkan kos kira-kira RM7,000.00
     "Oleh kerana aku `telah hilang' rumah itu, kau kena bayar sebahagian kos tambak. Kau bayar RM2.,000.00 pun cukuplah. Kalau kau keberatan, izinkan aku berkebun di situ," pintaku kepada Khalid sebelum dia berangkat ke Makkah musim ini.
     Dengan ini bermakna, kesemua kawasan belakang blok 10 unit ini telah aku `jajah'. Satu lagi unit iaitu rumah Irfan adalah blok berlainan.
     Sebagaimana Irfan, aku juga `over-energy'. Kawasan yang ada ini juga masih tidak cukup untuk melampias tenaga Badamgku.
     Lalu aku mencari kawasan baharu dan inilah Kebun Ahmad Irfan yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak yang terletak di hujung jalan mati ini.
     "Fan! Kau nak ikut Acik berkebun tak?," tanyaku pada suatu petang.
     "Boleh juga Cik!"
     Ternyata pinanganku diterima. Gayung yang dihulur bersambut.


    
    

Diari Kebun Ahmad Irfan

Di Nurseri Orkid Adnan Maarof
MULAI hari ini, blog ini akan memaparkan catatan ringkas aktiviti Ahmad Irfan Basit secara harian (sekiranya ada aktiviti) mengenai projek pertaniannya, Kebun Ahmad Irfan yang terletak di Taman Pinggiran Golf, Seremban.
     Irfan yang baharu berusia 11 tahun adalah jiranku selang empat pintu dan dia dijadikan projek perintis Agro Kraf untuk Pendidikan Pertanian dan Pertanian Komuniti.
    Tarikh awal hijrah 1 Muharram 1436 sengaja dipilih sebagai permulaan projek dan Irfan dipilih kerana adanya pelbagai kriteria dominan di kalangan kanak-kanak di taman perumahan yang berjiran dengan Taman Paroi Jaya dan Kelab Golf Antarabangsa Seremban.
     Antara kriteria utama yang mendapat perhatian syarikat ini untuk memilih beliau kerana faktor fizikalnya yang bersifat hyper-active.
     Dia sentiasa kelihatan menunggang basikal atau motosikal, tak kira waktu dan kehidupan aktiviti lasak mainan hariannya. Tenaga berlebihannya akan dimanfaatkan secara positif.
Nota Awal:
1. Irfan datang daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya. Ibu dan bapanya mendapat pendidikan di luar negara dalam bidang ini.
2. Panggillan `Acik' atau `Cik' dalam setiap perbualan nanti bermaksud Pak Cik, yang kedengaran lebih mesra dan kuat akar tradisinya. Irfan tidak memanggil saya Uncle seperti kanak-kanak lain kerana latar budayanya.
    
    

Monday, November 3, 2014

Semaian Di Atas Tanah Atau Dulang Semaian?

 PENGALAMAN pertama menggunakan dulang semaian untuk benih cili api dan terung telunjuk agak mengecewakan.
     Berbanding benih yang disemai dalam dulang semaian, semaian di atas tanah seperti yang dilakukan oleh emak saya ternyata lebih praktikal.
Kelebihan Semaian Di Atas Tanah.
1. Benih lebih cepat bercambah
2. Anak benih kelihatan lebih sihat.
3. Lebih sistem pengudaraan kerana kelembapan tanah senang dikawal.
Kelemahan Semaian Di Atas Tanah.
 1. Taburan benih tidak menentu.
2. Proses mengalih benih ke polibeg lebih sukar berbanding dulang semaian.
3. Sewaktu proses mengalih, benih yang tumbuh rapat akan rosak sebahagiannya.