ALLAH maha kaya. Sejak Azali, alam dibina dengan sistemnya - cakerawala, flora dan fauna sehinggalah benda-benda yang sekecil-kecilnya seperti alam bisnes.
Bayangkan apa akan terjadi sekiranya air mudik ke hulu? Pokok yang ditanam berbuah sepanjang tahun dan sebagainya?
Alam tani juga ada `hukumnya'. Setiap tumbuh-tumbuhan bermula dari benih (tidak kisahlah ianya dari biji, batang atau buah); kemudiannya membesar (tentunya memerlukan air, baja dan sebagainya), bertunas, berputik dan kemudiannya berbuah.
Sama ada dalam dunia bisnes, perkahwinan malah dalam apa juga aspek kehidupan; sesuatu itu ada mulanya, ada pangkalnya - baharulah ada akhir dan hujungnya.
Ramai yang tahu hakikat ini termasuk anak yang masih berada di prasekolah. Persoalannya ramai yang tidak mahu melalui apa yang dikatakan hukum Azali atau dalam bahasa mudahnya proses.
Kalau boleh; hari ini menabur benih jagung, esoknya mahu di eksport ke Arab Saudi untuk rangkaian jagung dalam cawan. Hari ini baharu memasukkan benih kelapa mataq ke dalam polybag; esoknya mahu melihat buahnya yang 20 biji setandan dan tumbuh enam tandan serentak itu sudah berada di rangkaian Tesco.
Bukankah dari benih... menjadi buah? Tiada benih... tiadalah buahnya.