Saturday, January 10, 2015

Maaf! Sejak Suku Abad, Aku Mencintaimu Dalam Diam.

SECRET LOVER...



Sudah lama aku mencintainya dalam diam. Mungkin hampir suku abad. Kerja-kerja batu dan simen feronya memukau - bagi aku dia satu-satunya anak Negeri Sembilan yang begitu terkedepan seni ketukangan (kraf) batunya (Stone Arts).

     Aku mula melihat hasil kerjanya melalui pagar dan gerbang rumahnya. Pernah aku bertanya sewaktu minum pagi di kawasan berhampiran. "Dia tu pensyarah UiTM," kata orang yang mendakwa tahu.
     Aku hanya mula berhasrat untuk menemui pemilik syarikat yang terletak tidak jauh dari bandar Seremban ini cuma sekitar seminggu lalu. Sewaktu menguruskan jualan tanah seluas tiga ekar, bengkel pemilik seniman batu ini hanya terletak bersebelahan.
     Setelah bertanya kepada karyawannya yang berasal dari Surabaya, dia selamba sahaja menjawab. "Tauke jarang datang."
     Aku sudah menjangka dia punya bisnes lain juga; mungkin yang lebih lumayan berbanding dengan tumpuan utama syarikat ini sekarang iaitu menyediakan nisan kuburan.
     Oleh kerana kedatanganku untuk mendapat khidmat kepakaran simen feronya; hajat itu tidak kesampaian kerana menurut karyawan kreatif nisan kuburannya taukenya tidak membuatnya lagi.
     Lalu aku tangkas menghubunginya melalui nombor yang tertera di bengkelnya.
    "Melampau! Takkan mould saya you nak beli. Melampau sangat!," dia bagai berteriak. Mungkin tidak dijangkanya sama sekali, orang yang baharu dikenali dan cuma melalu telefon sudah berani membeli `emak' bisnesnya.
    Setelah beberapa kali janji temu tidak berlaku, semalam buat pertama kalinya kami bertentang mata.
     "Oh you! Saya selalu baca blog you...," katanya ramah dan aku juga bagai sudah bersemuka dengannya sejak 25 tahun lalu.
    Semalam kami makan bersama dan kolaborasi akan berlaku antara Agro Kraf dengan .....
(pemilik bengkel kerja-kerja simen dan batu ini `malu publisiti').
     Oleh kerana aku pergi ke bengkelnya dengan menumpang motosikal Nasha Damsyik, aku memintanya menghantar pulang ke rumah dengan BMW 6 Seriesnya (katanya kereta bernilai RM360,000 itu dibeli tunai).
nota: Nasha Damsyik terpaksa pulang awal untuk menghantar isterinya kerja).

Terkubur Sudah Kebun Ahmad Irfan (Budaya Kuli Turut Mencengkam Kotak Fikir Anak Muda Melayu).

DARI Allah dia datang dan kepada Allah juga dia pergi. Kebun Ahmad Irfan yang menjadi salah satu program khidmat kemasyarakatan (CSR) Agro Kraf `dikafankan' dengan selamat pada 1 Januari 2015 walaupun baharu sahaja dilahirkan pada 1 Muharam 1436.
     Tanpa berat hati, keputusan tegas ini dibuat hasil siasatan yang dilakukan mendapati Ahmad Irfan sendiri turut terbabit secara aktif memusnahkan 31 batang pokok lada api yang ditanam oleh `atuk angkatnya' sendiri.
     Walaupun dia mendakwa Akhmal yang memusnahkannya (Akhmal dilihat sentiasa lari apabila melihat aku) tapi api amarah itu dituang petrol Ron 97 oleh pemilik kebun ini sendiri. Alasannya cuma SATU - "Acik tak bayar upah."
     "Sejak bila pula acik menjanjikan upah? Bukankah acik dah beritahu juga baba kamu yang acik akan buka akaun untuk hasil kebun di samping duit tunai beli ais krim," tanyaku senja itu. Ahmad Irfan terkebil-kebil. Kekentalan semangat Pejuang Memali (istilah yang diberikan abangnya, Omar) pudar.
    Senang sahaja aku menangkap pesalah. Apabila tanya Irfan, dia tuduh Akhmal. Bila tanya Akhmal tentulah dia bercerita sebenarnya, "Irfan yang suruh."
     Bukti paling nyata, hanya sebatang sahaja pokok lada api yang tidak dimusnahkan iaitu pokok yang sedia ada (tumbuh sendiri) sebelum projek ini.
     Tentulah amat malu ibu dan bapanya. Manakan tidak. Kedua-duanya lulusan universiti Mesir dan Jordan ternama. Kedua-duanya mungkin terlalu sibuk `mengajar orang' (berceramah di sana-sini) sehingga terlupa anak sendiri. Wallahualam!
Kebun Ahmad Irfan bagai kubur tua ini. Nisannya juga amat sukar dikesan.

Monday, December 15, 2014

31 Batang Pokok Lada Api Dimusnah: Angkara Siapa?

HANYA petang semalam aku perasan 31 batang pokok lada api yang kutanam sepanjang pagar yang bersempadan dengan Seremban International Golf Club (SIGC) `ghaib' dan beberapa pokok masih tinggal tunggulnya.
     Seminggu lalu aku tinggal di Rumah Tamu Agro Kraf kerana isteri bertugas di luar Seremban dan anak bongsuku ikut serta.
     Dalam kesibukan, baharu petang ini aku dapat menyiasat kedudukan kejadian.
     nota: Ikuti hasil siasatanku nanti.
16 batang daripadanya kutanam di sini sebagai pokok sisipan.

`Green-house' yang kubina di belakang rumah Ahmad Irfan
aku temui di tempat pembakaran sampah.

Hanya sebatang pokok yang tumbuh sendiri di belakang
rumah Ahmad Irfan dibiarkan kekal, yang lain dimusnahkan.

Ahmad Irfan (kanan) termenung sewaktu aku melakukan
siasatan awal.

   

Mulanya Tentu Secara Kecilan: Dari Benih Menjadi Buah

Rumah berbandung dua tingkat di Jalan Cenderawasih 4, Taman Paroi Jaya
ini kelihatan berbeza daripada rumah-rumah lain. Pembangunan
lanskapnya terancang dan penuh kehijauan.

Pokok pinag merah ini mungkin kelihatan biasa sahaja tetapi jika
ditanam secara terancang, ia memberi impak yang berbeza.

Samsudin beruntung kerana isterinya Noryah juga mencintai seni taman
dan kebersihan.

Edo Pratama dan Andi Suyanto sedang memulakan kerja selepas
makan tengah hari tadi. Petangnya sebahagian kerja
hampir siap.

Perhatikan lumut pada sisi luar pasu. Campuran hijau muda dan tua
membangkit mood ketenangan.

Satu lagi pasu yang dibiarkan berlumut oleh pasangan Samsudin dan Noryah.
ALHAMDULILLAH! Salah satu cabang bisnes Agro Kraf yang didaftarkan; pembinaan lanskap mula mendapat perhatian pelanggan. Pastinya ia bermula secara kecil-kecilan dalam kalangan rakan dan taulan.
     Mulai hari ini karyawan Agro Kraf, Edo Pratama dan Andi Suyanto melakukan kerja-kerja menanam paip dan kerja yang berkaitan bagi memastikan laman rumah milik pasangan Samsudin Hamidan dan Noryah Hashim terhampar kehijauannya dari pagar ke pagar.
     Setelah longkang tidak kelihatan lagi, tanah atas akan dibawa ke rumah berbandung dua tingkat di Taman Paroi Jaya, setelah kerja-kerja meratakan halaman dibuat.
     "Pertamanya saya simpati dengan isteri yang terpaksa membersihkan longkang yang agak panjang setiap hari. Keduanya pastinya kami juga ingin melihat seperti apa yang dilakukan oleh pemaju perumahan sekarang, longkang dan kabel elektrik tidak mengganggu pandangan," kata Samsudin yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan TV Pendidikan ini.
    Kedua-dua pasangan ini juga adalah mantan pengetua sekolah ternama di Seremban dan pernah mendapat pendidikan di United Kingdom. Pastinya pandangan luasnya terhadap dunia lanskap membolehkan mereka membangun lanskap dalam kawasan rumah yang cukup memikat.
     Sama ada di sedari atau tidak, pengaruh Bali jelas kelihatan. Pasu tanaman dibiarkan berlumut hingga menimbulkan kesan yang cukup menyejukkan.
     Bunga-bungaan yang menghijau mencantikkan lanskap rumah yang agak luas juga kawasannya ini.
     Noryah pula suka berkebun. Di bahagian belakang rumah ditanamnya sayur-sayuran keperluan harian.

Tuesday, November 25, 2014

Inovasi Dengan Produk Tani

Banana Cheese
INOVASI! Itulah yang perlu dilakukan sama ada oleh petani atau mereka yang menjadikan produk tani sebagai bisnes.
Kalau dahulu pisang hanya boleh dikaitkan dengan pisang goreng, lempeng pisang, cekodok pisang, kek pisang dan sebagainya; kini seorang mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu, Mohd Azim Zahari, 21 telah menggabungkan hasil tani tempatan dengan produk yang telah dikenali umum seperti Milo, Oreo dan menjadikan keju (cheese) sebagai antara bahan utama.
Ia dinamakan Banana Chees dan boleh diperolehi di gerai berhadapan Restoran Syed Maju, Taman Paroi Jaya, Seremban.
Saya yang baharu menikmatinya sebentar tadi, mengakui resipi berasaskan pisang ini memang jempolan bak kata Edo, karyawanku dari Lampung, Indonesia.
Apakah rahsia sedapnya banana cheese ini.
"Antaranya pasti tepungnya yang istimewa. Ia produk hasil kami sendiri," kata Rosmaliza Roslan, Pengurus Banana Cheese yang mula diperkenalkan kepada penduduk tempatan sejak April lalu.
Rosmaliza Roslan sedang menyiapkan tempahan
"Kami pilih pisang berangan terbaik. Perisanya boleh pilih sendiri sama ada cheese, Milo, Milo/ cheese, Oreo, peanut butter dan sebagainya.
"Harganya cuma RM4.50 hingga RM5.00 bergantung kepada perisanya," cerita Rosmaliza lagi.
Ia dijual antara jam 1.00 petang hingga 10.00 malam pada hari biasa dan jam 1.00 petang hingga 7.00 malam pada hari Ahad.
Gerai ini boleh dihubungi melalui 017-694 2329 atau 017-654 9631

Sunday, November 9, 2014

Cara Betul `Menyokong' Pisang

Baharu hari ini aku tahu cara menggunakan penyokong buluh yang betul bagi memastikan tandan pisang yang besar tidak menyebabkan pokoknya rebah.
    "Buluh perlu diletak di pangkal tandan; bukannya di pokoknya," kata Haji Abdul Aziz yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Angsana 1, Lorong Angsana 1/4, 1/5 dan 1/6 Taman Pinggiran Golf.
     Sebagai penaung projek Kebun Ahmad Irfan, aku membawanya sekali bersama Irfan melawat kebun sepupuku, Cikgu Husni Haji Ahmad di Kampung Tengah, Batu 8, Labu.
     Aku menjadikan kebunnya sebagai model - bersih, penjagaan tanaman yang rapi dan pastinya aku `geram' dengan pisangnya yang hidup subur.
    Projek yang telah dimulakan kira-kira enam bulan lalu itu akan memberikan hasil yang lumayan dalam tempoh seminggu dua ini.
     Setidak-tidaknya Husni dapat menunaikan Fardu Kifayahnya - membekal pisang nangka dan pisang tanduk yang sering menjadi masalah besar kebelakangan ini kepada penjual pisang goreng.
Husni Haji Ahmad
Besar jantungnya, besar pula...

Kebun pisang Husni

"Ini cara yang betul...

"Jangan tahan pada batangnya...

Lanskap Mudah Di Belakang Rumah

Alif dan Uweis membancuh simen

Akmal memanfaatkan pengalaman kerja simen

Kerja telah siap sebelum Maghrib

"Terimalah Hadiah Kami" itulah catatan Alif dan Azim untuk Papa dan Mama mereka, Akhiri dan Nashwah
EXPERIENCE & PROJECT BASED-LEARNING - Batu blok yang tidak aku gunakan lagi ini aku hadiahkan kepada jiran sebelah rumah; pasangan Akhiri Mokhtar dan Nashwah Zainal dan meminta anaknya Alif dan Azim memanfaatkannya.
     Pastinya mereka memilih untuk menyediakan tapak rehat di belakang rumah yang menghadap lubang nombor satu Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) yang menghijau itu dan tempat berbakue menjadi komponen utama lanskap mudah ini.
     Aku tahu pasangan ini sering menjadikan berbakue sebagai aktiviti pengikat kasih bersama anak-anak dan ruang lapang di depan pintu depan menjadi lokasinya.
     Setelah melihat pada sebelah paginya Alif dan Azim yang dibantu ahli Kelab Kebun Ahmad Irfan; Irfan, Akmal dan Uweis berjaya melakukan kerja-kerja menyusun 12 keping batu blok itu, pada sebelah petangnya aku meminta mereka menyambung susunan itu dengan membancuh simen sendiri.
     Di peringkat ini aku menyerahkan 100 persen kepada mereka - dari peringkat membancuh simen dan meratakannya.
     Mereka beruntung kerana Akmal pernah melakukan kerja-kerja ini di sekolah - Sekolah Kebangsaan KGV, Seremban.
     Sebelum masuk ke rumah untuk menunaikan perintah Allah (Maghrib) Azim dengan penuh bersemangat bertanya kepadaku," Uncle! Esok kita buat apa pula."
     Aku telah menyediakan assignment baharu untuk mereka - pasu yang terbiar selama ini akan cuba di isi dan rumput liar akan diganti. Kebetulan di taman perumahan kami, hidup menghijau tumbuhnya rumput carpet di sisi jalan masuk.